IPOH, 27 Ogos: Usaha kerajaan negeri memerangi denggi akhirnya membuahkan hasil apabila program ‘communication for behavioural impact’ (COMBI) ternyata menunjukkan kejayaan.

Difahamkan sehingga Julai 2021, terdapat 224 pasukan COMBI yang melibatkan 2,011 orang sukarelawan di seluruh Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamarudin bagaimanapun berkata, sukarelawan COMBI di sesebuah lokaliti masih belum mencukupi bagi menggerakkan mereka dalam aktiviti pencegahan dan kawalan denggi.

“Keberkesanan COMBI dalam pencegahan denggi, masih perlu ditambahbaik.  Peranan ini bukan sahaja perlu dimainkan oleh pasukan COMBI, tetapi juga masyarakat setempat.

“Keberkesanan sesebuah COMBI akan dapat ditingkatkan dengan kerjasama dan penglibatan masyarakat. Walau bagaimanapun, didapati lokaliti yang terdapat COMBI mampu mengekalkan status tiada wabak dan sekiranya berlaku wabak, tidak menjadi kawasan hotspot,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Jumaat.

Mohd Akmal berkata peranan COMBI sinonim dengan pencegahan dan kawalan denggi namun ketika ini mereka turut dilibatkan dengan aktiviti pemerkasaan komuniti dalam mencegah penularan COVID-19 dan vaksin.

“Semasa pandemik COVID-19 yang melanda di negara kita, COMBI turut dilibatkan dalam aktiviti pemerkasaan komuniti dalam mencegah penularan COVID-19 dan vaksin.

“Walau bagaimanapun, mereka masih belum digerakkan secara aktif dalam pemerkasaan komuniti ini memandangkan peningkatan kes di negeri Perak, pihak kami bimbang terhadap risiko jangkitan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan Jabatan Kesihatan Negeri Perak dengan kerjasama kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Membanteras Denggi Dan Chikungunya Peringkat Negeri Perak telah mengambil langkah-langkah produktif dalam menghapuskan pembiakan nyamuk aedes.

“Jabatan Kesihatan menjalankan ktiviti kawalan kes dan wabak demam denggi/chikungunya mengikut SOP setiap kali kes atau wabak dilaporkan dan aktiviti-aktiviti pencegahan seperti aktiviti pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Aktiviti semburan kabus racun serangga sekiranya ada kes dan keperluan, aktiviti larvaciding untuk mencegah dan membunuh jentik-jentik, aktiviti gotong-royong melibatkan komuniti dan pihak berkuasa tempatan, pendidikan kesihatan dan kempen mengenai demam denggi serta aktiviti memperkasakan komuniti melalui penubuhan COMBI,” ujarnya lagi.