LENGGONG, 31 Julai – Terdapat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini yang terpaksa memperlahankan operasi mereka kerana masalah kekurangan vaksin.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, ini ia berlaku kerana jumlah vaksin yang diterima negeri perak kurang daripada kouta yang sepatutnya.

Menurutnya, Perak sepatutnya menerima baki lebih 200,000 vaksin minggu ini tetapi ia mungkin tidak sepenuhnya.

“Sepatutnya kita dapat pada hujung bulan ni, maknanya minggu ni lah, tapi saya fikir tidak sepenuhnya kita dapat.

“Kalau dapat sepenuhnya bermakna PPV kita berfungsi di seluruh negeri lah, tapi ada PPV yang nampaknya memperlahankan dia punya tugas kerana kekurangan vaksin,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan bantuan makanan nelayan darat di Pusat Pekasam Negara, di sini, hari ini..

Saarani berkata, oleh kerana tumpuan perhatian diberikan kepada Lembah Klang, telah menyebabkan berlaku kekurangan vaksin di Perak.

Beliau berharap Perak akan mendapat bekalan vaksin yang mencukupi, ogos ini seperti mana yang diumumkan Kementerian Sains dan Inovasi (MOSTI) baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Maju Perak Holdings telah menandatangani kontrak dengan Pharmaniaga untuk membeli vaksin dan seterusnya menjual kepada sektor industri yang memerlukannya.