KUALA LUMPUR, 26 Mac: Kelewatan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 yang hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 mengecewakan banyak pihak, kata Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Jelasnya, walaupun hakikatnya perkara ini telah melalui proses yang panjang di Parlimen, ia turut mengambil kira parti politik serta semua aspek yang melibatkan anak muda dan pemegang taruh yang berkaitan.

“Sebagai Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat, saya kira kita perlu berani berhadapan dengan semua peringkat umur untuk mendapatkan legitimasi pemerintahan melalui proses demokrasi.

“Laluan kepada pemimpin muda perlu dibuka seluas-luasnya, penyertaan anak muda seawal 18 tahun dalam proses demokrasi khususnya pilihan raya adalah satu medan terbaik untuk mereka menentukan masa depan negara.”

Sokongan anak muda juga semakin menonjol terhadap pemerintahan Perikatan Nasional (PN) hasil daripada usaha dan keprihatinan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terutama sekali dalam menangani permasalahan dan cabaran pandemik COVID-19.

“Sekiranya mereka diberi peluang, saya yakin dan percaya anak muda ini, mereka boleh memilih secara rasional dan inilah masanya untuk mereka menyuarakan dan juga memperjuangkan isu yang membelenggu kumpulan ini supaya isu mereka ini tidak lagi dipandang enteng.

“Inilah masanya untuk mereka terus buka mata dan peduli tentang isu-isu yang berlaku di sekitar mereka supaya mereka lebih matang,” katanya semasa sidang video pada Jumaaat.

Pada Khamis, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh menjangkakan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022, sekali gus menyaksikan ia tidak sempat dilaksanakan pada Julai tahun ini sepertimana jangkaan awal.

Katanya, tempoh tersebut dibuat selepas menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR termasuk penularan wabak COVID-19.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati berharap dapat melihat lebih ramai calon-calon muda dalam kalangan wanita dapat diketengahkan untuk pilihan raya yang akan datang.

Tegasnya, ia memastikan hak dan juga isu-isu kumpulan ini juga dapat diketengahkan sekali gus mencapai sasaran 30 peratus penglibatan wanita dalam membuat keputusan. -AWANI