BIDOR, 23 April: Seorang kelindan maut selepas tercampak dari lori kontena dinaikinya dalam kemalangan dengan sebuah lori kontena lain di Kilometer 355.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat sini, awal pagi ini.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Keria Saleh, 48.

Mangsa dikatakan tercampak selepas lori kontena dinaikinya dipercayai terlanggar bahagian belakang kenderaan di hadapan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 3.08 pagi.

“Kemalangan jalan raya melibatkan dua buah lori kontena kosong.

“Terdapat dua orang mangsa, seorang tercampak dari kenderaan manakala seorang lagi (pemandu) tidak tersepit dan hanya kecederaan patah kaki,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut jurucakap itu, pihak hospital dan polis telah tiba terlebih dahulu di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, katanya, anggota bomba membuat pemantauan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada mangsa lain terlibat.

Kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis dan ambulan untuk tindakan lanjut.