IPOH, 10 JUN- Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed menzahirkan ucapan tahniah kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang menerima keputusan hari ini.

Khairul Shahril menerusi hantaran di Facebook pada Khamis turut memberikan kata-kata semangat kepada mereka yang berkenaan.

“Pastinya hari ini cukup dinanti-nantikan para pelajar SPM 2020 yang telah menerima keputusan masing-masing sebentar tadi.

“Apa juga keputusan yang diterima, ia hanyalah langkah pertama kepada cabaran yang lebih besar mendepani kedewasaan.

“Bagi yang berjaya, nikmati kemanisannya seketika. Untuk yang kurang berjaya, segera lupakan kekecewaan ini dan bangkit mengatur langkah seterusnya,” katanya.

Beliau turut menasihati para pelajar supaya menghargai jasa guru-guru dan ibu bapa yang selama ini tidak pernah jemu menyediakan jalan buat mereka.

“Perjalanan hidup anda bermula di sini, mohon reda mereka untuk capai impian bersama.

“Mudah-mudahan lebih banyak kejayaan dicipta dan membuka jalan untuk memberikan kebaikan kepada semua. Anda pemimpin masa depan negara,” ujarnya lagi.

Terdahulu, media melaporkan seramai 9,411 atau 2.46 peratus daripada 381,894 calon yang menduduki SPM 2020 memperoleh keputusan semua A.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata keputusan peperiksaan SPM 2020 juga menunjukkan peningkatan calon bandar dan luar bandar.

Beliau turut menyifatkan calon SPM 2020 adalah generasi paling mencabar, berikutan terpaksa berdepan suasana pembelajaran dan peperiksaan yang berlainan berbanding calon sebelum ini, susulan penularan wabak COVID-19.