Putrajaya, 24 Sept : “Kenapa engkau (kamu) sayang sangat (Nur) Sajat,” gurau Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Reaksi spontan itu diberikan Hamzah ketika diminta mengulas isu berkaitan kontroversi usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali Nur Sajat yang melarikan diri ke Thailand dipercayai melalui Padang Besar, Perlis pada Mac lalu.

Walaupun tidak mengulas lanjut status dan usaha membawa pulang Nur Sajat yang sudah ditahan di Bangkok pada Mac lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga agensi utama di bawah KDN pimpinan Hamzah sedang berusaha membawa pulang usahawan kosmetik itu.

Hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengedarkan salinan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dipegang Nur Sajat selepas didedahkan akhbar ini sejak Isnin lalu.

Selain itu, gambar Nur Sajat ketika disoal siasat pihak imigresen Thailand ketika ditahan pada 8 September lalu di kondominium di Bangkok turut diedarkan.

Harian Metro memetik sumber mendedahkan kad pelarian Nur Sajat bernombor 815-21C00071 itu dikeluarkan UNHCR di Bangkok dengan bantuan ibu pejabat mereka di Malaysia.

Laporan itu menyebut Nur Sajat sedang dibantu negara tertentu dan pertubuhan antarabangsa termasuk UNHCR di Bangkok dan Malaysia untuk mendapatkan kebenaran berpindah ke Australia.

Skuad khas turut mendedahkan, proses pengeluaran kad pelarian berkenaan agak kontroversi disebabkan proses Nur Sajat mendapatkannya dalam masa singkat berbanding pelarian lain.

Malah, UNHCR di Malaysia pernah juga dilanda kontroversi kerana dilaporkan menjual kad pelarian itu hanya dengan harga RM120 pada 2016.

Kenyataan Abd Jalil itu sekali gus mengesahkan laporan bersiri secara eksklusif akhbar ini sejak disiarkan Isnin lalu.

Isnin lalu, Harian Metro melaporkan misteri ‘kehilangan’ usahawan Nur Sajat kini terjawab apabila dia dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia.

Pada 9 September lalu, atas kesalahan memasuki Thailand secara tidak sah, Nur Sajat didakwa di mahkamah namun usahawan kosmetik itu dibebaskan pada 10 September lalu dengan jaminan 2,000 dolar Amerika Syarikat (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

Nur Sajat kini diarahkan melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari dan ketika ditahan, dia yang kini sudah menjadi pemegang kad pelarian UNHCR mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia dan diugut bunuh kerana umum keluar daripada Islam. – Harian Metro