LUMUT: Seorang ibu berasa bertuah apabila isteri Menteri Besar, Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi sudi merawat bayinya yang mengidap penyakit kulit (eczema).

Nazliana Abd Karim sangat berterima kasih kepada Dr Nomee kerana turut mencadangkan ubat-ubat yang sesuai untuk bayinya, Mifdal Iffat Erhan Noor Faizol yang berusia 7 bulan.

Menurut isteri anggota TLDM itu, anaknya mengidap eczema di kedua-dua pipinya sejak berusia kira-kira tiga bulan.

Bayi malang itu dikesan oleh Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu ketika beliau beramah mesra dengan anggota TLDM dan keluarga mereka pada Rumah Terbuka Aidilfitri Pangkalan TLDM di sini, hari ini.

Sebaik sahaja, menemui bayi itu, YAB Ahmad Faizal terus mendukungnya dan membawanya kepada Dr Nomee yang merupakan doktor pakar kanak-kanak.

Selepas melihat keadaan  Mifdal Iffat Erhan, Dr Nomee mencadangkan beberapa jenis ubat krim sapuan dan sirup untuk mengubati bayi itu.