IPOH; 23 Feb – Kerajaan akan membantu sektor industri perubatan, khususnya pembuatan sarung tangan getah bagi meransang semula ekonomi negara, lebih-lebih lagi ketika dunia menghadapi pandemic Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, ia sekaligus dapat memastikan malaysia kekal sebagai pengeksport sarung tangan getah terbesar di dunia.

Menurutnya, berdasarkan permintaan dunia, eksport sarung tangan getah malaysia dijangka berkembang sehingga 30 peratus dengan nilai eksport mencecah RM34 bilion tahun ini.

“Saya jangkakan itu tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan dunia, jadi kita sebagai kerajaan, mana yang industri yang strategik, kita mahu memudah cara, jika perlu dan kita galakkan mereka ini mengeksport dengan lebih besar lagi.

“Ia sekali gus dapat melestarikan kedudukan malaysia sebagai pemain utama dalam membekalkan sarung tangan untuk industri kesihatan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pembukaan rasmi fasiliti sistemasi pembuatan sarung tangan di RT Glove Engineering Sdn Bhd, Chemor, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, walaupun program vaksinasi telah diperkenalkan di seluruh dunia tetapi permintaan terhadap sarung tangan getah akan terus meningkat kerana ia sudah menjadi antara norma baharu kehidupan.

Dalam masa sama, beliau meminta syarikat pembuatan sarung tangan diminta memenuhi aspirasi negara seperti mematuhi Akta 466 berhubung standard minimum perumahan dan kemudahan pekerja di samping membantu mengatasi masalah penggangguran di kalangan warga tempatan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan AT Glove, Choong Lee Aun berkata,pihaknya melabur kira-kira RM120 juta untuk membina membina 13 lagi kemudahan untuk membuat sarung tangan dan bangunan kilang di Chemor.

Menurutnya, apabila siap menjelang April tahun ini, pihaknya menjangkakan mencapai pengeluaran 2.6 bilion unit sarung tangan setahun menjelang pertengahan tahun ini.

Di samping itu, kata Choong, pihaknya merancang untuk membina kilang kedua di Kamunting selepas pembelian tanah seluas kira-kira 7.2 hektar dengan nilai RM10.5 juta.