TAIPING, 21 APRIL: Seorang penumpang parah manakala tiga lagi cedera ringan selepas kereta yang mereka naiki terbabas lalu terbakar di Kilometer 88.6, Jalan Ipoh – Butterworth, dekat sini, malam tadi.

Pemandu kereta, seorang renjer yang dikenali sebagai Paulus, 44, turut mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 9 malam ketika kereta jenis Proton Wira yang mereka naiki dalam perjalanan ke Kamunting.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta di hadapan mereka, yang tidak diketahui nombor pendaftaran, tiba-tiba brek mengejut.

“Pemandu Proton Wira kemudiannya mengelak ke kanan jalan dan kenderaannya berpusing beberapa kali sebelum terbabas ke tepi jalan, lalu terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Osman berkata, kesemua mangsa lelaki, berumur antara 12 hingga 44 tahun, dikejarkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa berjaya dikeluarkan orang awam sebelum bomba tiba. – AWANI