IPOH, 24 DIS: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Sunway City (Ipoh) Sdn Bhd menjalankan projek usahasama bagi tujuan menaik taraf Jalan Tambun untuk melancarkan aliran lalulintas di jalan tersebut.

Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin berkata, projek naik taraf itu bermula dari simpang susur masuk Kuala Lumpur/Pulau Pinang sehingga ke persimpangan lampu isyarat Taman Perpaduan.

“Projek naik taraf itu merangkumi jarak kira-kira 5.2 kilometer dengan kos dianggarkan berjumlah RM16.35 juta.

“Ia meliputi kerja-kerja naik taraf simpang pusingan-U, lampu jalan LED, turapan semula permukaan, perabot jalan, pengambilan tanah dan kos juruperunding,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Disember di Dewan Mesyuarat MBI di sini, hari ini.

Rumaizi berkata, projek tersebut dijangka bermula pada awal tahun 2021 dan siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2022.

Tambahnya, pelaksanaan projek usahasama itu akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan di Jalan Tambun terutamanya pada waktu puncak.