IPOH, 13 JAN : Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, bencana banjir yang me­landa negara baru-baru ini jelas menunjukkan bahaya kesan yang dibawa oleh perubahan iklim.

Titah baginda, kesan aktiviti manusia terhadap hidupan liar, iklim, sungai, hutan dan lautan juga turut memberi akibat kepada manusia.

Baginda bertitah, sehubu­ngan itu seluruh rakyat perlu terus bekerjasama untuk melindungi dan mengurangkan kesan kerosakan yang di­sebabkan oleh perubahan iklim.

“Langkah bagi memulihkan planet kita ini memerlukan usaha semua pihak, daripada kerajaan sehingga sektor swasta dan juga orang ramai.

“Ketika kita memberikan respon yang baik membantu mereka yang terjejas akibat bencana, kita juga perlu bertegas untuk memperbaharui usaha-usaha bagi menangani punca utama kejadian banjir tersebut,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam ucapan diraja pada majlis khas sempena sambutan Ulang Tahun Ke-50 Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia secara maya, semalam.

Sultan Nazrin turut menekankan mengenai pemuliharaan sebagai unsur yang amat penting dalam pembangunan negara yang mewarisi sumber semula jadi yang tidak ternilai termasuk hutan hujan dan kekayaan kepelbagaian biologi.

Titah baginda, negara mempunyai tanggungjawab besar bagi melindunginya dengan berkesan.

“Kita perlu bangkit untuk menghadapi cabaran ini untuk kita sendiri dan juga bagi populasi global,” titah baginda.

Titah baginda, komitmen teguh kerajaan terhadap pemuliharaan boleh dilihat dalam beberapa aspek termasuk Dasar Perhutanan Negara yang mewajibkan 50 peratus negara ini perlu kekal dengan kawasan hutan.

“Malaysia mempunyai Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan yang menetapkan memperuntukkan 20 peratus daripada keluasan tanah sebagai kawasan perlindungan,” titah baginda.

Dalam titah baginda, Sultan Nazrin menzahirkan keyakinan pertubuhan-pertubuhan seperti WWF Malaysia akan terus berada di barisan hadapan dalam usaha tersebut untuk 50 tahun akan datang.

“Malah WWF akan terus berada di barisan hadapan selepas daripada tempoh itu iaitu semasa kita menghadapi cabaran yang mendatang.

“Malah WWF Malaysia telah memainkan peranan penting selama 50 tahun yang lepas dan telah membantu negara menghadapi cabaran alam sekitar seterusnya menjadi suara yang lantang dalam memperjuangkan pemuliharaan alam semula jadi di negara ini,” titah ba­ginda. – UTUSAN