BERUAS, 21 FEB : Sejak enam tahun lalu, Mainuah Awang, 72, tidak mampu berjalan dan mengharapkan bantuan anak serta cucunya untuk bergerak atau menguruskan dirinya.

Sejak tempoh itu juga, anak Mainuah, Zurini Hussin, 45, menggunakan ‘kerusi roda’ buatan sendiri menguruskan ibunya termasuk bagi memandikannya dan ke tandas.

‘Kerusi roda’ itu dihasilkan seorang saudara Mainuah dengan cara menggunakan kerusi plastik yang dilekatkan atas platform besi empat segi yang dipasang roda.

Zurini berkata, dia tidak mampu membeli kerusi roda atas faktor kemiskinan kerana hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM450 sebulan dan nafkah bulanan RM500 daripada bekas suami.

“Pendapatan sebanyak itu sebenarnya tidak mencukupi untuk menanggung kami tujuh sekeluarga iaitu saya, ibu dan lima anak berusia 18 hingga lima tahun yang mana empat daripadanya masih bersekolah.

“Syukur ada adik beradik dan saudara mara yang ada membantu walaupun mereka sendiri pun bukanlah hidup senang,” katanya selepas menerima bantuan kotak keperluan makanan sumbangan Team Amal Kasih Masyarakat (TAKM) Perak di rumahnya di Kampung Nelayan Sungai Batu, Pantai Remis, dekat sini semalam.

Menurut Zurini, dia pernah memohon bantuan kerusi roda daripada beberapa pihak berkaitan tetapi tidak pernah lulus.

Katanya, dia juga terpaksa memapah ibunya apabila membawanya ke klinik ekoran tidak memiliki kerusi roda.

Sementara itu, Pengerusi TAKM Perak, Zaimeer Azmi berkata, seramai 70 keluarga pelbagai latar belakang termasuk yang hidup daif, miskin dan mempunyai anggota keluarga sakit kronik disantuni serta disumbangkan bantuan kotak berisi pelbagai barangan keperluan makanan.

Katanya, ‘Program Ziarah Kasih Masyarakat’ itu diadakan di kawasan kampung sekitar daerah Manjung khususnya Pantai Remis iaitu di Kampung Sungai Batu, Kampung Tebuk Yan, Kampung Semangat, Kampung Batu 10 dan kampung di Teluk Senangin.

“Program ini anjuran TAKM Perak dengan kerjasama The Giving Bank(TGB), Food4All dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid al-Khairiah Masjid Kampung Sungai Batu.

“Hasil daripada program ini 70 keluarga menerima manfaat yang mana penganjur cuba bantu sedaya mungkin keperluan yang mendesak,” katanya. – UTUSAN ONLINE