TELUK INTAN: Polis menahan sepasang suami isteri dan seorang remaja perempuan dipercayai terbabit dalam kejadian pukul seorang wanita yang tular di media sosial.

Difahamkan, pasangan suami isteri masing-masing berusia 22 dan 19 tahun itu ditahan bersama remaja perempuan berusia 17 tahun berkenaan pada jam 2.30 petang tadi di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Kamarudin Mat Salleh, berkata mereka dipercayai terbabit dalam kes pukul seorang wanita di sebuah rumah di Hutan Melintang.

Katanya, polis menerima aduan daripada mangsa yang mendakwa dipukul dan dicederakan dengan menggunakan colok oleh pasangan suami isteri itu.

“Video pasangan terbabit mencederakan mangsa tular di Facebook dan satu laporan polis dibuat oleh wakil badan bukan kerajaan (NGO) di Kuantan, Pahang, selepas melihat video itu.

“Susulan itu, tiga individu ditahan dan polis turut merampas sebuah telefon bimbit untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Semalam, media melaporkan polis ingin menghubungi dua individu bagi membantu siasatan kejadian terbabit di sebuah rumah di Taman Mas, Kampung Koh di sini, seperti tular di media sosial.

Rakaman video berdurasi dua minit enam saat itu menunjukkan seorang wanita dipukul, ditampar dan tapak kakinya dicucuh dengan colok.