PETALING JAYA: Mudah hilang bola, sedikit kelam kabut apabila diasak pasukan lawan, hantaran kurang kemas dan kesilapan mudah barisan pertahanan antara kelemahan pasukan negara yang perlu diperbaiki segera dalam sesi latihan sebelum berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jumaat depan.

Hasrat skuad Harimau Malaya untuk meraih motivasi sebelum memulakan kempen baki aksi kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 tidak kesampaian apabila tewas 2-0 kepada Bahrain dalam aksi persahabatan kelas A di Stadium Nasional, sebentar tadi.

Skuad kebangsaan nyata lebih garang memulakan perlawanan apabila hampir mendahului pada minit kesembilan menerusi percubaan pertahanan kanan, Matt Davies namun rembatan lemah kaki kirinya mudah ditangkap oleh penjaga gol, Ebrahim Lutfalla.

Barisan pemain negara turut berjaya mengimbangi permainan menentang pasukan di ranking ke-98 dunia itu dengan mencipta beberapa peluang namun ia gagal disudahkan dalam bentuk jaringan.

Ketika skuad negara leka melakukan hantaran-hantaran pendek, kesilapan pemain tengah, Azam Azih yang kehilangan bola di bahagian tengah hampir dihukum pasukan tuan rumah namun tampanan penyerang Bahrain, Mahdi Abduljabbar berjaya ditepis keluar Farizal Marlias pada minit ke-29.

Begitupun, gawang pasukan negara akhirnya dibolosi ekoran kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan pertahanan negara, Irfan Zakaria yang memeluk Mahdi dalam kotak penalti dan kekasaran itu dihidu pengadil perlawanan, Turkey Alghadeer dengan menghadiahkan sepakan penalti.

Sepakan penalti itu mudah disempurnakan Mahdi untuk meletakkan Bahrain di depan pada minit ke-41.

Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia kembali bangkit mengatur gerakan dan hampir menyamakan kedudukan namun tandukan Syafiq Ahmad tidak menepati sasaran pada minit terakhir babak pertama.

Bersambung babak kedua, tempo permainan kedua-dua pasukan terus dipertingkatkan sekali gus menjadikan perlawanan lebih menarik terutama peningkatan prestasi mendadak ditunjukkan skuad negara berbanding ketika tewas 1-4 kepada Kuwait, Isnin lepas.

Selepas kesilapan Irfan, giliran Farizal pula melakukan kesilapan mudah apabila gagal menampan bola hantaran ke belakang oleh Liridon Krasniqi yang menyaksikan dipintas pemain gantian, Jassim Marhoon sebelum dia melakukan rembatan kencang untuk gol kedua tuan rumah pada minit ke-61.

Meskipun ketinggalan, namun skuad negara menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk sekurang-kurangnya meraih satu gol dengan mengasak kubu lawan namun terus buntu untuk menewaskan Ebrahim.

Jika dilihat, kedua-dua jaringan Bahrain berpunca daripada kesilapan individu yang menghadiahkan ‘gol mudah’ buat pasukan kendalian Helio Sousa.

Selepas dua perlawanan persahabatan, pertahanan negara telah dibolosi enam gol dan sesuatu yang perlu diperbaiki dengan segera, selain ketumpulan jentera serangan yang dilihat masih menghantui skuad Harimau Malaya. – UTUSAN