LENGGONG, 10 April – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan memberi bantuan yang sewajarnya kepada keluarga wartawan sambilan New Straits Times (NST), Zulkifly Ab Latif yang meninggal dunia ketika di Pulau Tali Kail, Tasik Banding dekat sini, pada Khamis lalu.

Zulkifly, 41,meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika mengikuti program Eksplorasi Eko-pelancongan anjuran KeTSA di situ.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pihaknya akan mengkaji dari segi keperluan yang sesuai bagi tujuan penyaluran bantuan kepada keluarga Allahyarham.

“Kementerian akan membantu sedaya mungkin. Sehingga kini kita telah pun menguruskan dan membiayai kos-kos pengebumian Allahyarham.

“Oleh kerana ia berlaku dalam program kementerian, Insyallah kementerian akan mengkaji apa yang sepatutnya kementerian bantu dan saya berharap keluarga Allahyarham dapat bersabar.

“Kita amat simpati apa yang berlaku dan sudah tentu menjadi tanggungjawab kementerian untuk melihat dan mengkaji apa yang patut kita bantu pada keluarga Allahyarham,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Penghijauan Malaysia: Tasik Raban Lenggong sempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Perak di Dataran Tasik Raban, dekat sini pada Sabtu.

Allahyarham Zulkifli yang berasal dari Johor itu meninggal dunia kerana sesak nafas ketika melakukan aktiviti pendakian bukit di Pulau Tali Kail bersama 18 peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi media.