BOTA, 25 Sept: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed turun ke lapangan di sini untuk meneruskan Program Penyerahan Bantuan Keprihatinan Kesihatan DUN Bota.

Seperti kelaziman, kelangsungan program itu turut mendapat kerjasama erat daripada Pertubuhan Kebajikan Minda AbgManjoi.

Khairul Shahril dalam hantaran di Facebook berkata, beliau turut menyampaikan peralatan kesihatan kepada penduduk yang memerlukan dan kurang bernasib baik.

“Saya telah menyerahkan kerusi roda kepada Mat Ganti Othman di Kampung Rimba Raja dan katil kepada Zalina Abdullah di Kampung Tanjung, Batu 16 Lambor Kanan.

“Kebajikan dan keperluan penduduk yang kurang bernasib baik kita akan terus bantu selagi mampu, mereka juga ramai yang terkesan lebih-lebih lagi ketika situasi pandemik sekarang” katanya pada Sabtu.

Beliau berharap bantuan yang diberikan itu dapat memudahkan penerima terbabit bergerak dan menjalani aktiviti harian.