PASIR SALAK, 2 April – Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengingatkan ahli parti agar tidak mendesak supaya segara diadakan pemilihan parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Umno turut memberi amaran kepada Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin untuk tidak mendesak perkara sama.

Ini kerana katanya kepimpinan parti sebelum ini telah bersetuju untuk menangguhkan pemilihan parti dan memberi tumpuan penuh dalam menghadapi PRU yang akan datang.

Tegas Tajuddin sekiranya pemilihan parti diadakan sebelum PRU-15, ia akan memberi kesan langsung kepada parti dan dikhuatiri mewujudkan bibit-bibit perpecahan dalam kalangan ahli parti.

“Kalau kita dah bercerita tentang pemilihan parti sebelum pilihan raya, jadi kita akan lari dari fokus kita. Apa benda kita sibuk-sibuk dengan pemilihan parti.

“Hendak pegang jawatan dan sebagainya, (nanti) esok nanti lepas pilihan raya, mungkin sebulan dua bulan lepas tu semua bercempera (berpecah-belah).

“Jadi kempen untuk persediaan pilihan raya macam mana. Keutamaan salah ni Khairy ini. (Dan) yang dia beria-ia sangat menggesa supaya diadakan pemilihan (parti) sebelum pilihan raya, apa tujuan dia?

“Saya ingin beri amaran kepada Khairy, jangan ingat kita ini orang ‘bodoh’. Tahu siapa kamu dan apa yang kamu hendak buat serta apa yang kamu mahukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah, dekat sini pada Jumaat.

Tajuddin diminta mengulas berkenaan kenyataan Khairy yang menggesa agar MT Umno agar segera mengadakan pemilihan parti sebelum PRU-15 bagi menyelesaikan kemelut dalaman yang melanda parti itu.

Dalam pada itu, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak mempersoalkan niat sebenar Khairy berhubung gesaan tersebut.

“Kita sudah berbincang perkara ini dalam pelbagai pertemuan dan ianya dipersetujui (menangguhkan pemilihan parti). Kalau tidak diputuskan pun, tanyalah semua orang mana yang lebih baik.

“Saya faham (mungkin) ada orang nak pegang jawatan dalam parti, supaya dalam pilihan raya nanti dia dapat menguasai keputusan-keputusan yang akan memihak kepada dia,” katanya.