BAYAN LEPAS, 8 FEB : Sebuah premis mencuci kereta di Sungai Tiram, di sini mengambil pendekatan mulia dengan menyediakan perkhidmatan mencuci dan menjalankan sanitasi terhadap kenderaan anggota barisan hadapan secara percuma sepanjang bulan ini.

Langkah itu dilakukan pengurusan Pusat Cucian Kereta Asiawash sebagai tanda penghargaan kepada seluruh warga barisan hadapan termasuk Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pengarah Urusannya, Datuk Ismail Jusoh berkata, usaha itu adalah sebagai sokongan dan terima kasih atas pengorbanan anggota berkenaan dalam menjaga keselamatan serta kesihatan rakyat negara ini.

“Program khas ini terbuka kepada semua petugas sama ada yang berkhidmat di sektor kesihatan, penguat kuasa dan keselamatan serta pihak berkuasa tempatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Mereka hanya perlu menunjukkan kad kuasa atau dokumen pengenalan diri kepada kakitangan kami dan boleh terus mendapatkan perkhidmatan cucian, vakum serta sanitasi secara percuma,” katanya kepada Utusan Malaysi, di sini semalam.

Harga asal bagi pakej tersebut adalah RM32 bagi sebuah kereta.

Menurut Ismail, khidmat cucian percuma itu bukan sahaja melibatkan kenderaan pasukan atau jabatan malah untuk kereta persendirian milik barisan hadapan.

Jelasnya, premis yang mula beroperasi sejak Januari tahun lalu itu mengetengahkan konsep pandu lalu dengan kapasiti mencuci kenderaan sehingga 480 buah kereta sehari.

“Sejak program ini bermula pada 1 Februari lalu, sebanyak 200 kenderaan milik barisan hadapan termasuk doktor dan jururawat mendapatkan khidmat cucian percuma di sini,” katanya. – UTUSAN ONLINE