IPOH, 24 Sept – Khutbah Jumaat seluruh masjid di Perak hari ini menghargai usaha guru Sekolah Kebangsaan Felda Besout I, Ismail Mohd Zain yang membersihkan Sungai Balun di Slim River.

Dalam khutbah bertajuk ‘mensyukuri nikmat, melestarikan sungai’ sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021, umat Islam di negeri ini diminta mencontohi usaha yang dibuat Cikgu Ismail.

Menurut khutbah, hampir setiap minggu Cikgu Ismail berusaha membersihkan Sungai Balun daripada sampah sarap, untuk membantu pengaliran air sungai agar dapat menghindarkan banjir.

“Malah ia turut membantu memelihara pelbagai jenis hidupan air untuk membiak, seterusnya memberi rezeki kepada nelayan darat,” kata khutbah itu.

Usaha murni Cikgu Ismail itu akhirnya sampai ke pengetahuan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mengutus warkah penghargaan kepada beliau.

Pada Februari, Suara Perak melaporkan Sultan Nazrin menzahirkan penghargaan atas sifat terpuji ditunjukkan oleh Cikgu Ismail yang melakukan kerja pembersihan sampah sarap di Sungai Balun, Slim River.

Dalam warkah penghargaan yang disampaikan kepada guru berkenaan, Sultan Nazrin turut memuji usaha guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Besout 1 itu kerana melakukan rutin berkenaan secara sukarela.

Khutbah Jumaat turut mengajak umat Islam mendukung tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi agar terus berusaha melestarikan khazanah alam yang tidak ternilai pentingnya itu kepada kehidupan manusia dengan sebaik mungkin.

Di samping itu, masjid, surau, sekolah, badan-badan belia, badan-badan sukarela dan persatuan penduduk hendaklah mendidik setiap rakyat, bermula daripada kanak-kanak, untuk tidak mencemari sungai dengan langkah permulaan, berhenti membuang sampah dan kotoran ke dalam longkang, parit dan sungai.