IPOH, 8 Mei – Kelab Kebajikan Masyarakat Ipoh Selatan (KKMIS) hari ini membuat laporan polis berhubung insiden satu kumpulan yang tidak dikenali bertindak menurunkan bendera negeri Perak separuh tiang di Stadium Perak, di sini malam tadi.

Pengerusinya, Al Yashir Yahaya berkata perbuatan itu yang dilihat sangat biadap dan merendah-rendahkan darjat bendera negeri Perak serta pemerintah negeri kerana pengibaran bendera separuh tiang ini hanyalah untuk kes-kes tertentu seperti kematian pembesar negeri atau negara.

“Kami meminta pihak polis untuk menjalankan siasatan di bawah Akta Hasutan kerana ianya mengganggu gugat kestabilan perpaduan di negeri ini dan berharap tiada lagi insiden yang serupa dilakukan di masa akan datang.

“Seperti mana kita tahu bola sepak merupakan sukan kegemaran kita semua dan mungkin ada penjelasan yang peminat perlu tahu.

“Tetapi janganlah melibatkan bendera negeri Perak, Jata atau apa-apa lambang yang menunjukkan negeri ini tidak dihormati.

“Dan menurunkan bendera separuh tiang ini seolah-seolah semua pembesar dan pemerintah bersalah terhadap isu yang mungkin mereka pun tidak tahu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Rapat di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau menasihati semua rakyat di negeri ini agar menghormati bendera dan jata negeri kerana ianya adalah lambang kedaulatan negara tidak kira apa kepercayaan atau bangsa.

Pada Jumaat, media tempatan melaporkan isu gaji lewat terus mencengkam pemain Perak FC hingga bertindak memboikot latihan di Stadium Perak, malam tadi.

Memetik laporan itu, latihan yang sepatutnya bermula pukul 10 malam sebaliknya bertukar menjadi sesi perbincangan antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Rizal Ali Naizali.

Antara isu dibangkitkan ialah kelewatan pembayaran gaji serta pemain mahu meninggalkan pasukan.

Dalam suasana kalut itu ada pihak menangguk di air keruh dengan mengibarkan bendera Perak separuh tiang.