Ipoh, 3 Mac : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak menyerbu sebuah kilang memproses makanan menggunakan logo halal tidak sah di sebuah kawasan perindustrian di sini, semalam.

Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, Ops Halal itu dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) hasil risikan dan maklumat awam.

“Kilang ini memproses roti dan biskut. Pemilik premis gagal mengemukakan perakuan halal yang diperakukan oleh pihak berkuasa,” katanya pada kenyataan hari ini.

Saifullizan berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kilang itu mendapati, ia turut menyimpan barang kawalan iaitu gula dan tepung gandum tanpa permit.

Sehubungan itu, pihaknya menyita dokumen, barangan pembungkusan, bahan mentah dan lain-lain untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan jumlah keseluruhan rampasan RM37,613.

“Bagi kes mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, jumlah keseluruhan rampasan adalah RM21,623. Barangan disita antaranya membabitkan 400 bungkus biskut.

“Bagi kes mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 pula, nilai keseluruhan rampasan RM 15,990. Barangan disita antaranya 285 guni tepung gandum 25 kilogram,” katanya.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tiga tahun atau denda sehingga RM1 juta. – Harian Metro