TANJUNG MALIM, 8 April – Kiosk BizNita dengan sentuhan reka bentuk unik dan mudah dibawa, merupakan inisiatif khusus untuk membantu golongan wanita di negeri ini menjalankan perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, pembaharuan itu juga membolehkan peniaga wanita menambah pendapatan keluarga, lebih-lebih ketika pandemik COVID-19.

“Kita mengambil reka cipta yang ‘custom made’, malah kita berbincang dengan pembuat kiosk ini untuk memastikan ianya memudahkan peniaga wanita.

“Kiosk ini ada payung, malah ianya ringan dan boleh dilipat untuk dimasukkan ke dalam kereta.

“Jadi sangat sesuai untuk peniaga wanita yang perlu mengangkat barang-barang seorang diri,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di majlis penyerahan Kiosk Bantuan Peralatan Peniaga Kecil Wanita (BizNita) di Dewan Behrang Stesyen, di sini pada Khamis.

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad, sempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat (MESRA) di Parlimen Tanjung Malim.

Dalam pada itu ujarnya, seramai 12 orang penerima dari Tapah, Teluk Intan dan Tanjung Malim menerima bantuan kiosk tersebut.

Katanya, penerima itu membabitkan semua kaum iaitu Melayu, India, Cina dan Orang Asli.

“Memandangkan tidak lama lagi masuk bulan Ramadan, dapatlah mereka guna kiosk ini untuk berniaga di lokasi yang bersesuaian.

“Untuk pelancaran hari ini kita serah kepada 12 orang dan selepas ini akan diserahkan di daerah lain kepada 215 orang, peruntukan untuk kiosk ini kira-kira RM 350,000,” katanya.