SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah baik sistem permohonan kuarantin di rumah bagi pengembara dari luar negara dengan membangunkan Portal Home Quarantine Application (HQA).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, langkah penambahbaikan itu dilakukan susulan peningkatan mendadak permohonan kuarantin di rumah dan tempat kediaman bagi pengembara luar yang sudah lengkap suntikan vaksin Covid-19.

Beliau berkata, pembangunan portal baharu yang diusahakan oleh Preparedness and Response Centre (CPRC) itu akan boleh diakses bermula Selasa.

“Dengan wujudnya portal HQA ini, pengurusan permohonan dapat dilakukan dengan lebih baik. Permohonan perlu dibuat dalam tempoh tujuh hingga 10 hari sebelum ketibaan ke Malaysia.

“Justeru, pengembara yang akan tiba di Malaysia mulai 28 September ini boleh membuat permohonan kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman melalui portal HQA ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada 8 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan kemudahan untuk pengembara yang sudah lengkap vaksin Covid-19 diberikan kemudahan menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, portal HQA menggunakan modul sebahagian sistem e-COVID19 yang mengurus perincian pesakit wabak tersebut dan turut berintegrasi dengan aplikasi SIMKA, e-Notifikasi dan MySejahtera.

“Antara skop yang dimasukkan dalam modul HQA ialah permohonan kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman, kemasukan ke hospital dalam tempoh kuarantin dan pelepasan daripada arahan kuarantin.

“Semua permohonan perlu mengemukakan dokumen seperti sijil vaksin, pasport, tiket penerbangan, surat rujukan hospital, kelulusan memasuki negara (bagi bukan warga negara) dan lain-lain dokumen berkaitan.

“Pengembara juga perlu mengisytiharkan alamat kediaman untuk menjalani kuarantin serta mengisytiharkan keadaan premis bagi tujuan penilaian risiko oleh pihak Jawatankuasa Home Surveillance Order (Home Surveillance Order Committee (HSOC),” ujarnya.
Khairy berkata, daripada setiap permohonan yang lengkap dan berjaya dihantar kepada HSOC, pemohon akan menerima notifikasi memaklumkan penerimaan permohonan dihantar.

Jelas beliau, permohonan dengan dokumen lengkap akan disemak oleh HSOC dan keputusan tersebut akan diemelkan kepada pemohon melalui sistem tersebut dengan surat kelulusan mengikut nama pemohon.

“CPRC Jabatan Kesihatan Negeri (mengikut alamat kuarantin pemohon) dan Pejabat Kesihatan, Pintu Masuk Antarabangsa yang berkaitan juga akan menerima surat kelulusan ini.

“Sistem dilengkapi dengan kemudahan untuk menjana laporan bagi memudahkan pegawai pemantau mendapatkan semula deklarasi maklumat tempat atau lokasi kuarantin bagi tujuan pematuhan kepada kuarantin,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan, tiada perubahan pada syarat permohonan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman dan ia perlu dipatuhi semua pengembara yang tiba di Malaysia.

“Portal ini diharap akan memudahkan dan meningkatkan kecekapan proses permohonan dan kelulusan kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman.

“Namun begitu, pengembara yang mendapat kelulusan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman diingatkan untuk mematuhi sepenuhnya Perintah Pengawasan dan Pemerhatian.

“Kegagalan mematuhi perintah ini adalah satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” jelasnya. -Sinar