KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disarankan agar menamakan kluster jangkitan COVID-19 di sesuatu kawasan dengan nama lokasi sebenar penularan direkodkan, bukan dengan meletakkan nama samaran bagi mengelak daripada pengetahuan masyarakat.

Menurut Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman, tindakan itu dapat memberi pengetahuan dan rujukan kepada masyarakat untuk lebih berhati-hati daripada terkena jangkitan COVID-19 jika berada di kawasan kluster berkenaan.

“Saya berpendapat dalam keadaan kita sekarang ini, Kementerian (KKM) boleh membezakan antara data perlu dirahsiakan dan apakah data-data yang perlu dimaklumkan masyarakat.

“Dari segi kesihatan awam, saya berpendapat bahawa data-data yang perlu dikongsi masyarakat terutama untuk memaklumkan risiko mereka dalam mendapat sesuatu jangkitan perlu dimaklumkan.

“Jadi saya tidak nampak alasan mengapa KKM perlu gunakan nama samaran dan nama tidak jelas terhadap kluster-kluster yang berlaku.

Bagi saya tidak menjadi sesuatu merbahaya, jika kita menyatakan sebenar nama kluster dan lokasi sebenar,” katanya ketika dihubungi¬†Astro AWANI.

Menerusi tindakan itu jelasnya, masyarakat akan lebih berhati-hati dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sekaligus penularan COVID-19 juga dapat diturunkan selain tindakan agresif oleh para petugas barisan hadapan dalam pengesanan kontak.

“Ia bagi memberikan makluman kepada masyarakat lebih berhati-hati, kita bukan memberikan stigma atau persepsi negatif tetapi ia memberikan satu kesedaran lebih untuk masyarakat berhati-hati.

“Untuk itu saya sangat menyarankan supaya KKM tidak lagi menggunakan nama samaran, gunakanlah nama sebenar untuk memberikan lebih kefahaman kepada masyarakat,” jelasnya lagi.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat dua lagi kluster baharu dikenali Kluster Usaha di Lembah Klang dan Kluster Tembaga di Pulau Pinang.