PETALING JAYA: Turun dengan misi mahu mengejutkan Johor Darul Ta’zim (JDT), Pulau Pinang hampir melakukan kejutan yang diharapkan.

Bagaimanapun pengalaman dan kualiti dimiliki Harimau Selatan membolehkan juara tujuh kali berturut-turut itu melakar kemenangan 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini.

Pulau Pinang yang dibimbing ‘Jurgen Klopp Malaysia’, Tomas Trucha mempamer permainan fizikal dan bertahan hingga menyukarkan benteng mereka dibolosi.

JDT yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Piala Sumbangsih minggu lalu terpaksa menunggu hingga minit ke-82 untuk membuka jaringan menerusi sepakan penalti Leandro Sebastian Velazquez.

Ketinggalan 1-0 mendorong Pulau Pinang mengubah rentak permainan dan menyerang lawan dalam usaha menembusi benteng JDT.

Begitupun serangan balas dilakukan Harimau Selatan menghasilkan gol kedua menerusi Fernando Rodriguez Ortega pada minit ke-85. – UTUSAN ONLINE