IPOH, 21 April – Jabatan Kesihatan Perak telah mengurangkan kompaun yang dikenakan kepada enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak dekat sini, ekoran rayuan yang mereka kemukakan.

Pengarahnya, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, ia hasil pertemuan dengan pihak pengurusan kolej dan pelajar berkenaan pada Selasa di Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran.

“Kesemua pelajar telah hadir mengemukakan rayuan dan pengurangan kompaun telah diberikan mengikut tatacara pengurangan kompaun sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kata Dr Ding, rayuan bagi pengurangan lanjut telah dikemukakan oleh pihak pengurusan kolej atas alasan pelajar tersebut dari golongan berpendapatan rendah dan tidak mampu untuk membayar jumlah kompaun dikenakan.

“Sehubungan itu, kertas siasatan terhadap isu tersebut akan dibuka dan siasatan lanjut akan diadakan untuk di bawa ke pertimbangan pihak pengurusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya.

Dalam masa sama, katanya, teguran tegas juga telah diberikan kepada pihak pengurusan kolej kerana tidak memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis berkenaan.

Sejak Isnin, tular di laman sosial terdapat pelajar Kolej Matrikulasi Perak yang dikompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka.

Pelbagai pihak mempertikaikan tindakan itu kerana pelajar-pelajar berkenaan dikatakan tinggal di kolej sejak lima bulan lalu dan tidak dibenarkan keluar.

Difahamkan pihak KKM datang ke kolej berkenaan pada Ahad atas sebab kes keracunan makanan di salah satu cafe di situ.

Bagaimanapun, mereka datang lagi pada Isnin walaupun cafe yg terlibat dengan keracunan makanan telah diberi notis untuk tutup selama dua hari.

Mereka dikatakan mengeluarkan kompaun RM1,500 kepada beberapa pelajar yang tidak memakai pelitup muka atau meletakkannya di bawah dagu.

Terdapat juga video menunjukkan pelajar-pelajar matrikulasi itu disaman sehingga membuatkan warganet mempersoalkan tindakan tersebut.