IPOH, 7 Jun – Kompaun yang dikenakan terhadap 29 pekerja syarikat minyak dan gas (O&G) di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan kerana gagal mengemaskini status kesihatan harian di dalam aplikasi MySejahtera pada Sabtu, akan dibatalkan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil semakin pihak PDRM Manjung kepada Unit Inspektorat dan Perundangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati, berlaku kekeliruan terhadap kesalahan tersebut.

Menurutnya, pihak KKM telah mengesahkan bahawa pemilik aplikasi MySejahtera perlu mengemaskini status kesihatan apabila terdapat gejala, mempunyai sejarah perjalanan keluar negara, mempunyai hubungan atau menjadi kontak rapat serta telah disahkan positif dijangkiti COVID-19, sahaja.

“Sehubungan dengan itu, Ketua Polis Daerah Manjung akan merujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Manjung untuk memaklumkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara bagi tujuan pembatalan kompaun tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Justeru itu, beliau menasihatkan masyarakat agar tidak khuatir atau bimbang terhadap tahap penguatkuasaan yang dilakukan oleh pihak polis dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memutuskan rantaian COVID-19, seterusnya memastikan keselamatan di negara ini sentiasa terpelihara.

Pada Sabtu, 29 pekerja syarikat berkenaan dikompaun RM2,000 kerana tidak mengemaskini status kesihatan di aplikasi MySejahtera ketika memasuki tempat kerja, dalam satu operasi pasukan pemantau prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Operasi itu yang diketuai Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi turut disertai wakil KKM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Mior Faridalathrash berkata, setiap tindakan yang diambil oleh pihak polis akan dirujuk kembali kepada peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan dari semasa ke semasa.

“PDRM Perak ingin menasihatkan masyarakat di negeri Perak untuk sentiasa bersabar serta memberi kerjasama penuh kepada semua agensi yang terlibat sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini,” ujarnya.

Tambahnya, PDRM Perak juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada orang ramai yang melanggar undang-undang dan SOP yang sedang berkuatkuasa.