PUTRAJAYA: Malaysia dan Pakistan bersetuju mengadakan konsultasi dua hala yang pertama di Islamabad tahun depan.

Dalam kenyataan bersama, hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menyambut baik penubuhan konsultasi dua hala antara pegawai kanan Kementerian Luar sebagai mekanisme untuk meningkatkan pembabitan antara kedua-dua pihak.

“Dalam menetapkan nada dan arah masa depan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, kedua-dua pemimpin menekankan pentingnya pertukaran lawatan di semua peringkat, dengan tujuan untuk memperluas hubungan dua hala,” kata kenyataan berkenaan.

Kedua-dua pemimpin juga menegaskan keinginan untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala, memperluaskan dan mewujudkan keadaan yang menggalakkan bagi perdagangan dan perniagaan di kedua-dua negara terutamanya dalam sektor minyak sawit, produk pertanian, peruncitan makanan, produk halal, bahagian automotif, tenaga, sains dan teknologi serta telekomunikasi.

“Syarikat penyedia elektrik tunggal di Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga terbuka kepada peluang perniagaan dengan Pakistan termasuk dalam tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Kedua-dua pemimpin juga berharap Mesyuarat Jawatankuasa Bersama bagi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Rapat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) dapat diadakan dalam masa terdekat bagi meningkatkan perkongsian ekonomi.

“Malaysia dan Pakistan mengiktiraf kepentingan perbincangan teratur untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dalam sektor utama dan menangani ketidakseimbangan perdagangan dua hala,” katanya.

Mengenai Perjanjian Antara Kerajaan mengenai Gas Asli Cecair (LNG) antara Malaysia dan Pakistan yang ditandatangani pada November 2017, Dr Mahathir mengulangi komitmen Malaysia untuk membantu Pakistan dalam menangani kekurangan tenaga.

“Dalam hal ini, Perdana Menteri, Imran Khan mengalu-alukan kerjasama Malaysia dalam LNG dan sektor tenaga lain termasuk sumber hidroelektrik dan boleh diperbaharui,” katanya.

Selain itu, Pakistan turut menyuarakan hasrat untuk meneroka kerjasama lebih besar dalam industri berteknologi tinggi bersama Malaysia termasuk memanfaatkan lokasi strategik Malaysia dalam mengembangkan pelaburan mereka ke ASEAN dan Asia Pasifik.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk meningkatkan usaha kolaboratif dalam menegakkan nilai sebenar Islam dalam forum antarabangsa serta memperkuat perpaduan umat Islam.

“Kedua-dua pihak mengesahkan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan lebih rapat mengenai isu yang mempengaruhi dunia Islam termasuk mengambil langkah bersama dalam menekankan sensitiviti dalam menyerang personaliti agama dan kepercayaan Islam.

“Kedua-duanya menekankan bahawa keganasan tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana agama atau kepercayaan. Pandangan ditukar kepada keadaan di Palestin dan wilayah Rakhine, Myanmar. Mengenai isu Palestin, kedua-dua negara bersetuju untuk menyumbang secara positif di forum lain,” katanya.

Selain itu, Dr Mahathir menyampaikan kesediaan Malaysia untuk berkongsi pengalaman dalam memajukan industri halal.

Menyedari usaha Malaysia untuk menghapuskan rasuah, Imran turut melahirkan minat Pakistan untuk belajar dari pengalaman dan pencapaian Malaysia dalam bidang ini.

Kedua-dua pemimpin turut bersetuju mengenai keperluan untuk meningkatkan hubungan pendidikan antara Malaysia dan Pakistan dan bersetuju kerjasama erat mengenai pendidikan dan latihan adalah elemen penting dalam fasa hubungan berikutnya – berita harian