IPOH, 29 Nov – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mengeluarkan 57 notis pengesahan maklumat barangan (NPMB) kepada peniaga barangan keperluan di seluruh negeri sehingga 28 November tahun ini.

Dalam tempoh sama, sebanyak 136 surat pemberitahuan semakan harga barangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 turut dikeluarkan kepada peniaga yang disyaki mencatut.

Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, tindakan boleh diambil terhadap mana-mana peniaga di setiap rantaian bekalan sekiranya terdapat unsur pengambilan keuntungan secara tidak munasabah (mencatut) di bawah AKHAP 2011.

Menurutnya, pihaknya mengambil perhatian mengenai keresahan rakyat baru-baru ini berhubung kenaikan harga barangan keperluan asas seperti sayur-sayuran, ayam dan telur di pasaran yang memberi kesan kepada kos sara hidup.

“Hasil pemeriksaan KPDNHEP negeri mendapati barangan keperluan pengguna seperti sayur-sayuran antaranya kubis bunga, sawi, brokoli, kacang buncis, kubis, cili merah dan cili hijau serta ayam dan telur telah menunjukkan peningkatan harga di pasaran sejak beberapa minggu yang lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Saifullizan berkata, dapatan awal kenaikan harga barangan itu dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti peningkatan kos pengeluaran, keadaan cuaca semasa yang tidak menentu dan ketidakseimbangan penawaran dan permintaan dalam pasaran.

Beliau menegaskan peniaga yang dikesan mengambil kesempatan dengan mencatut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1), AKHAP 2011.

“Sekiranya disabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat dan sehingga RM100,000 bagi individu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua- duanya sekali,” ujarnya.

Beliau menyarankan pengguna supaya menggunakan aplikasi ‘Price Catcher’ yang berupaya memberi pilihan lebih meluas kepada pengguna untuk membeli barangan keperluan kerana meliputi perkongsian harga lebih 400 barangan keperluan di seluruh negara.