IPOH, 15 Okt – Selain sukan, budaya dan fesyen, makanan juga dilihat mampu menjadi ejen penggerak bagi mengukuhkan lagi perpaduan kaum yang seiring dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

Justeru bagi merealisasikan hasrat berkenaan, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique melancarkan program ‘Cafe Uniti Citarasa Keluarga Malaysia’ di bawah Kempen ‘Makanan Ikatan Perpaduan’ di sebuah restoran di sini pada Jumaat.

Katanya Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memperluaskan lagi program berkenaan ke seluruh negara dalam tempoh terdekat.

Menurutnya selain kementerian, orang ramai juga boleh mencadangkan kepada KPN sekiranya dapat mengenal pasti lebih banyak premis-premis makanan seperti restoran, warung dan gerai yang berpotensi untuk diiktiraf sebagai ‘Cafe Uniti Citarasa Keluarga Malaysia’ di kawasan masing-masing.

“Sekiranya ada mana-mana premis makanan yang didapati ada kemeriahan dari sudut kepelbagaian kaum, orang ramai boleh mencadangkan kepada KPN (menerusi laman Facebook untuk ‘Cafe Uniti Citarasa Keluarga Malaysia’) dan penilaiannya akan dibuat oleh pihak KPN.

“Selain itu kerjasama dengan KPKT juga akan memberi fokus antaranya jumlah jumlah sasaran kafe, gerai, warung atau restoran serta kriteria lanjut bawah program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Cafe Uniti Citarasa Keluarga Malaysia pertama di Restoran Shake and Bake di Ipoh pada Jumaat.

Menurut Halimah, antara kriteria awal di bawah program berkenaan adalah sesebuah premis mestilah mempunyai lesen perniagaan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selain mempunyai makanan tradisi tempatan.

“Cafe Uniti Citarasa Keluarga Malaysia ini diharapkan mampu menjadi ejen penggerak kepada perpaduan negara dan sekaligus mampu menjadi tapak integrasi perpaduan.

“Dalam usaha kita bagi mencapai aspirasi Keluarga Malaysia, menjadi harapan kerajaan untuk semua pihak memainkan peranan masing-masing, termasuk pemilik-pemilik restoran di seluruh negara,” katanya lagi.

Tambah beliau, setiap premis makanan yang diiktiraf sebagai Cafe Uniti Citarasa Keluarga Malaysia secara tidak langsung akan memperoleh manfaat dari segi promosi perniagaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

“Apabila setiap premis makanan yang terlibat dengan pengiktirafan ini, perkara ini bukan sekadar menggantungkan plak sebaliknya akan ada tindakan dan perancangan susulan kementerian khususnya dalam memperkukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat,” jelas beliau.