KUALA LUMPUR, 1 JAN : Kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan lagi kepada peminjam yang layak.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata keputusan itu diambil kerana kerajaan prihatin dan menyedari terdapat peminjam PTPTN masih terkesan dengan pandemik COVID-19 dan belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.

Katanya, peminjam PTPTN yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai 5 Januari hingga 31 Mac 2021.

“Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bermula dari bulan permohonan pelanjutan diluluskan.

“Butiran berkenaan pelaksanaan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman ini akan diperincikan oleh PTPTN,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, kerajaan telah menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN mulai 19 Mac hingga 31 Disember 2020 kepada semua peminjam PTPTN berikutan pandemik COVID-19.

Peminjam boleh kemukakan pertanyaan lanjut di talian 03-21933000 (Careline PTPTN) yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang. – AWANI