PETALING JAYA, 24 Mac: Mayat ketiga mangsa insiden komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pada Isnin, berjaya dikeluarkan awal pagi ini.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Nordin Pauzi dalam kenyataan pagi ini, operasi mengeluarkan mangsa yang bermula pada 2.15 pagi mengambil masa selama setengah jam.

“Setelah pihak kontraktor dapat menstabilkan beam, pasukan bomba telah mendapat sedikit ruang untuk mengeluarkan mangsa daripada celahan beam.

“Pasukan penyelamat bomba berjaya membawa turun mangsa di zon selamat dan melakukan kerja-kerja ‘decontamination’ dan ‘deprotection’. Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

Mangsa sebelum ini telah dikenal pasti sebagai pekerja pembinaan warga China, Mu Tong Zheng.

Terdahulu, Bernama melaporkan kerja-kerja menstabilkan struktur binaan “U Beam” di lokasi kejadian selesai pada kira-kira 9 malam tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi JBPM Kuala Lumpur Khairul Azuwan Ibrahim dalam kenyataan malam tadi, operasi mengeluarkan mayat pekerja pembinaan warga China yang terhimpit di atas rangka struktur diteruskan setelah kerja-kerja menurunkan dua buah “winch” selesai.

Dalam kejadian Isnin itu, tiga pekerja pembinaan warga China maut dan seorang pengguna jalan raya cedera parah selepas sebuah komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya SUKE berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai di Cheras.

Mayat warga China yang dikenal pasti sebagai Ding Kunfu dan Jiang Jinboa berjaya dikeluarkan pihak bomba pada 11.30 pagi semalam.

Seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Low Zy Jing, 33, yang memandu Perodua Bezza dilaporkan cedera parah akibat dihempap struktur kren berkenaan ketika melalui kawasan itu sedang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz. – FMT