KUALA LUMPUR, 31 Julai: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengesyorkan agar persidangan Dewan Rakyat dilanjutkan bagi membolehkan Ahli Parlimen membincangkan semula isu pembatalan Ordinan Darurat berkenaan.

“Saya rasa ini adalah satu pembohongan yang tidak boleh dimaafkan, tetapi juga apa yang dilakukan kerajaan itu menimbulkan kemurkaan Tuanku walaupun Baginda telah memberi pandangan supaya kita bincang hal ini, sama ada diluluskan pembatalannya.

“Maka elok perkara ini dilakukan semula dan sepatutnya sidang Parlimen dilanjutkan bagi memberi peluang kepada Ahli Parlimen menyuarakan pendapat rakyat tentang baik buruk Ordinan Darurat yang dipakai sekarang,” ujarnya.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memberi jaminan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat akan disambung semula pada jam 10 pagi, Isnin ini.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 berlangsung selama lima hari, bermula Isnin lalu sehingga 29 Julai dan 2 Ogos.

Pada sidang khas itu, kesemua 220 Ahli Parlimen termasuk yang belum divaksin dibenarkan hadir ke Dewan Rakyat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, termasuk perlu menjalani ujian saringan COVID-19 serta memakai pelitup muka.