MANJUNG, 16 JAN – Jabatan Tenaga Kerja (JTK) menggempur dua lagi asrama menempatkan hampir 1,000 pekerja asing sebuah kilang sarung tangan dalam keadaan sesak dan tidak mempunyai perakuan penginapan di Kampung Acheh, Sitiawan pada Jumaat.

Operasi bermula jam 2 petang itu mendapati, hampir kesemua unit penginapan di enam blok berkenaan disediakan melebihi kapasiti antara 15 ke 20 orang, ruang tamu dijadikan tempat tidur, tiada kemudahan katil dan tilam serta kesalahan memasak di ruang bilik yang dijadikan tempat tidur.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JTK Semenanjung Malaysia, Zaini Yaacob berkata, keadaan itu jelas melanggar peruntukan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Kita terima aduan daripada orang awam memaklumkan asrama menempatkan pekerja asing di sini sesak dengan jumlah bilik tidak menepati peraturan ditetapkan.

“Hasil tinjauan, memang berlaku kesesakan di mana ada unit yang perlu menempatkan dua orang sahaja tetapi dihuni lebih daripada jumlah sebenar, malah ada katil diletakkan di ruang rehat.

“Kesalahan paling ketara ialah kedua-dua asrama ini tidak mempunyai surat perakuan penginapan yang dikeluarkan JTK,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah JTK Perak, Muhamad Fauzi Abd Ghani.

Beliau berkata, kesemua pekerja berkenaan sepatutnya dipindahkan ke tempat penginapan lain yang sesuai seperti diperuntukkan dalam Akta 446.

“Secara keseluruhan, bangunan penginapan ini tidak mematuhi syarat ditetapkan.

“JTK Perak akan membuka kertas siasatan ke atas majikan dan penyedia penginapan berpusat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Majikan yang didapati melanggar Akta 446 boleh dikenakan hukuman maksimum RM50,000 di bawah Seksyen 24D (3.

Penyedia penginapan berpusat yang melanggar akta sama boleh dikenakan hukuman maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya di bawah Seksyen 24D (4).

Rabu lepas, JTK Perak membuka 10 kertas siasatan ke atas sebuah syarikat sarung tangan di kawasan perumahan Tasek, Ipoh yang didapati melanggar Akta 446 dengan tidak mempunyai surat penginapan perakuan. – SINAR HARIAN