IPOH – Ibu kepada seorang bayi lelaki yang dilahirkan tepat pada detik 12 tengah malam semalam, Saniah Ismail, 28 ternyata begitu gembira dengan kelahiran anaknya itu.

Saniah berkata, dirinya sama sekali tidak menyangka akan melahirkan anak tepat pada detik berkenaan dan menganggap kelahiran berkenaan sebagai cukup bermakna buat dirinya sekeluarga.

Bagaimanapun menurutnya, masih belum ada nama yang khusus untuk diberikan kepada anaknya itu kerana mahu berbincang dahulu dengan suaminya.

“Setakat ni, saya belum fikir lagi untuk memberikan nama kepada anak saya ini. Pasal tarikh ni pun, saya memang tak tahu dan tak rancang apa-apa.

“Tapi, saya dah rasa sakit sejak tiga hari lalu dan semalam (kelmarin) mak mentua suruh saya datang ke sini.

“Saya masuk wad dalam jam10 malam dan dalam masa dua jam, saya selamat bersalin,” katanya ketika ditemui di Wad Bersalin Hospital Raja Permaisuri Bainun, semalam.

Berdasarkan catatan rekod, bayi lelaki seberat 3.23 kilogram itu selamat dilahirkan secara normal oleh Saniah.

Bayi yang masih belum diberikan nama itu nama itu, adalah anak ketiga bagi Saniah serta suami, Mohd Ariff Fahmi, 29.

Dalam pada itu, bagi K Yogeswary, 28 menyifatkan dirinya serta suaminya,K Prakash, 32, cukup bertuah kerana mereka dikurniakan anak pada tarikh 31 Ogos, yang juga tarikh kemerdekaan negara.

Katanya, kelahiran anaknya itu juga cukup menggembirakan kerana mereka sememangnya telah menantikan sejak setahun yang lalu.

“Saya rasa sangat bertuah sebab anak saya lahir betul-betul pada masa 31 hari bulan Ogos. Ini adalah anak sulung saya.

“Saya sangat gembira anak saya lahir pada 31 Ogos dan anak saya telah menjadi anak Malaysia. Saya dan suami sangat-sangat gembira,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jururawat Wad Bersalin HRPB, Tengku Nor Laila Tengku Mat berkata, sejumlah 12 kelahiran direkodkan setakat 11.59 pagi semalam melibatkan empat bayi lelaki dan lapan bayi perempuan.

Katanya, wad bersalin berkenaan dijangka bakal menerima lagi beberapa kelahiran hari ini berikutan masih ada pesakit yang menunggu giliran di bilik bersalin.

“Kita jangkakan mungkin ada pertambahan lagi kelahiran bayi, kerana di dewan bersalin ada lagi pesakit dalam proses menunggu kelahiran,” katanya – sinar