SITIAWAN, 22 Julai- Lalang di kawasan tanah lapang berkeluasan 15 ekar di Padang Astaka dekat sini terbakar hari ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.49 petang.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan bergegas ke lokasi kejadian dengan dibantu oleh anggota dari PBS Ayer Tawar, PBS Pantai Remis dan PBS Pekan Gurney.

“Anggota menggunakan empat aliran 400 kaki, empat pancutan air dari tangki jentera dan sumber air pili bomba sehingga api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan, cuaca dan keadaan padang yang kering merupakan antara faktor api merebak.

“Bagaimanapun ia tidak melibatkan mangsa atau kerosakan harta benda,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pihak bomba turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pembakaran terbuka, lebih-lebih lagi semasa cuaca kering.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.49 petang.