Kuala Lumpur, 20 Mac : Polis menjalankan siasatan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan itu dijalankan susulan satu video tular di media sosial memaparkan Najib melanggar SOP PKPB apabila tidak melakukan imbasan suhu dan tidak mendaftar MySejahtera ketika masuk ke restoran berkenaan.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.

“Semua individu yang terbabit dalam kes ini akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kertas siasatan berhubung perkara itu akan diserahkan ke pejabat Pendakwa Raya sebaik siasatan selesai dijalankan.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP PKPB. Kegagalan mematuhi arahan itu akan mengakibatkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi satu minit 39 saat menunjukkan Najib dilihat masuk ke restoran berkenaan dengan tidak melakukan imbasan suhu serta mendaftar MySejahtera tular di media sosial.

Malah, Najib turut memuat naik kenyataan berhubung perkara itu di Facebook semalam, dengan mengaku kesilapan apabila tidak mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera walaupun pegawainya sudah berbuat demikian.

“Saya minta pihak berkuasa keluarkan saman terhadap saya atas kesilapan tidak sengaja ini.

“Saya akan membayar saman atas kesilapan ini secara sukarela. Tidak ada ‘double standard’ dalam istilah saya,” katanya. – Harian Metro