KUALA TERENGGANU 25 Nov : Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengeluarkan dua kompaun berjumlah RM20,000 susulan isu berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) semasa perlawanan separuh akhir Piala Malaysia melibatkan pasukan Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Takzim FC (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus, Isnin lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kompaun masing-masing berjumlah RM10,000 itu di bawah Peraturan 16 P.U(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 itu diberikan kepada tuan rumah, Terengganu Football Club Sdn Bhd dan Malaysia Football League (MFL) selaku penganjur perlawanan.

“Kita telah menjalankan siasatan dan penganjur gagal memastikan pematuhan protokol am dalam pengurusan penonton dan penyokong iaitu penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dengan sempurna semasa perlawanan berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun Dr Kasemani berkata, siasatan pihaknya mendapati pengurusan TFC mematuhi peraturan lain iaitu menyediakan QR kod Mysejahtera, pengambilan suhu dan menyediakan cecair pembasmi kuman sebelum memasuki stadium.

Jelas beliau, jumlah bilangan penonton juga dihadkan kepada 20,000 berbanding kapasiti sebenar 47,500 penyokong, membenarkan penonton yang lengkap vaksin sahaja memasuki stadium dan mewajibkan semua penonton memakai pelitup muka sepanjang perlawanan berlangsung.

“Selain itu, penganjur juga ada menyediakan pasukan kawalan keselamatan seramai 430 orang terdiri dari agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan petugas keselamatan di pintu masuk kompleks sukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Kasemani berkata, setiap individu perlu memainkan peranan penting dalam memastikan diri masing-masing tidak mendapat jangkitan dan tidak menjangkiti orang lain.

“Ini penting bagi mencegah berlakunya penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan ahli keluarga, komuniti dan tempat kerja.

-AWANI