Lewat petang semalam tular satu rakaman dashcam yang berjaya merakam sebuah Myvi merempuh van sehingga kedua-dua kenderaan tersebut terpelanting ke sisi kiri jalan raya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata pemandu Myvi itu dikatakan cuba melarikan diri tetapi ditahan orang awam yang kemudian menyerahkan kepada polis.

Dalam kejadian tersebut yang berlaku jam 2 petang semalam, pemandu kereta Myvi yang berusia 26 tahun telah merempuh van hingga remuk dan mengakibatkan pemandu van mengalami kecederaan parah. Selepas rempuhan, pemandu Myvi dilihat cuba melarikan diri dari tempat kejadian.

“Pemandu Myvi berkenaan telah berjaya ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSJT) untuk tindakan susulan. Hasil ujian saringan air kencing mendapati pemandu Myvi itu negatif dadah.

“Polis akan menjalankan ujian alkohol terhadap lelaki itu yang didapati tiada rekod jenayah. Kita akan mohon reman terhadap suspek mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pengguna media sosial juga telah berkongsi beberapa gambar dan rakaman video detik-detik kemalangan tersebut berlaku dan percubaan pemandu Myvi tersebut melarikan diri sebelum ditangkap oleh orang ramai.

Tambah Superintendan Azman Shari’at lagi, pemandu van yang parah kini ditempatkan di zon merah Hospital Serdang untuk rawatan selanjutnya. Sehingga kini, tiada butiran lanjut mengenai identiti pemandu van tersebut daripada pihak hospital dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sumber: The vocket