IPOH, 9 Mei – Ekoran larangan merentas daerah dan negeri berkuasa Isnin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak merancang menambah 31 lagi lokasi selatan jalan raya (SJRJ).

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ia sebagai tambahan kepada 27 SJR sedia ada yang melibatkan 313 pegawai polis.

Menurut beliau, tambahan itu melibatkan penugasan pegawai polis seramai 620 orang.

“Ini akan menjadikan jumlah keseluruhan SJR sebanyak 58 dan melibatkan penugasan pegawai polis seramai 933 orang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memberitahu, setakat ini, terdapat 450 pasukan pemantau pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digerakkan di seluruh negeri.

Katanya, bilangan SJR dan pasukan pemantau SOP akan bertambah mengikut keperluan semasa.