BANGI, 25 OKT : Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu hairan dengan tindakan ratu terjun negara Pandelela Rinong yang mengeluarkan kenyataan terbuka mengenai lawak berbaur lucah membabitkan bekas jurulatihnya memandangkan kes itu sudah lama berlaku.

“Saya hanya nak faham keseluruhan senario, kenapa tiba-tiba, setelah sekian lama, Lela (Pandelela) keluar kenyataan melalui sosial media beliau?,” katanya.

Bagi memahami situasi sebenar yang berlaku di lapangan, Faizal berkata, beliau berjumpa dengan beberapa beberapa atlet negara berhubung isu berkenaan.

Bagaimanapun, maklumat lanjut masih belum dapat didedahkan kepada umum.

“Saya dah mula buat panggilan-panggilan secara peribadi sebagai menteri dan saya juga dah berjumpa dengan beberapa atlet tentang perkara ini jadi tak sesuai untuk saya hebahkan lagi perkara ini buat masa sekarang,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Seminar Anti-Doping Kebangsaan 2021.

Dalam pada itu, beliau juga akan berhubung dengan bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang mengetuai KBS ketika kes berkenaan berlaku.

“Saya percaya dia juga mempunyai pandangan dan maklumat tentang perkara ini,” katanya.

Dalam usaha mengekang jenayah seksual daripada berleluasa dalam arena sukan tanah air, Faizal menggesa semua pihak terutama atlet negara segera melaporkan kepada pihak berkuasa atau ibu bapa mereka sekiranya keadaan yang tidak normal berlaku.

“Bukan saja jenaka lucah, lawak kotor pun kita tidak boleh terima yang mana kita anggap sebagai ‘harrasment’. Inikan pula berlaku perkara melebihi daripada itu, tentunya kita mesti tolak.

“Segera laporkan kepada ibu bapa atau jurulatih atau pihak berkuasa sekiranya berlaku percakapan tidak sesuai, sentuhan tidak sesuai antara jurulatih atau rakan sebaya,” katanya.

“Jangan berdiam diri kerana ini adalah satu kesalahan jenayah yang kita kena sama-sama perangi,” katanya.

Pada 21 Okt, Pandelela mendedahkan beliau mempunyai pengalaman berdepan seorang jurulatih yang menjadikan perkara lucah sebagai bahan lawak.

Isu lawak rogol sebelum ini hangat diperkatakan susulan video tular yang memaparkan seorang pelakon tempatan, Fauzi Nawawi menceritakan semula babak rogol lakonannya bersama pelakon Raja Farah dalam sebuah rancangan televisyen. – FMT