Manjung, 13 OKT : Lebih 12,000 pengunjung dijangka akan mengunjungi beberapa lokasi tumpuan di daerah ini pada hujung minggu ini susulan kebenaran merentas negeri yang bermula Isnin lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, kemasukan pelancong dijangka akan meningkat melebihi 40 peratus terutama di Pulau Pangkor dan Teluk Batik, Lumut.

Menurutnya, lebih 3,000 pengunjung direkodkan di pantai Teluk Batik pada Isnin lalu berbanding berbanding 2,000 pada minggu sebelumnya.

“Pada Ahad iaitu sehari sebelum pengumuman rentas negeri, rekod kedatangan pengunjung pada hari minggu ke Teluk Batik adalah 9,500 orang.

“Justeru, susulan kebenaran rentas negeri, dijangka ada penambahan 1,000 hingga 2,000 pengunjung di lokasi berkenaan pada hari bekerja dan juga hari minggu,” katanya dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan pemantauan di semua kawasan pelancongan terutama di Teluk Batik, Pulau Pangkor, Lumut dan Teluk Senangin bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kekal dipatuhi.

“Kita akan menempatkan penguat kuasa pelancongan di semua lokasi berkenaan dan turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi memantau pematuhan SOP .

“MPM juga menambah anggota daripada lapan kepada 12 orang terutamanya di Teluk Batik. Kita juga ada penambahan anggota bagi kawalan di setiap kaunter, parkir kenderaan dan kawasan pantai,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pulau Pangkor Mohd Zamzuri Suid berkata, setakat ini, tempahan hotel di pulau peranginan berkenaan mencapai 80 peratus pada hujung minggu ini.

Katanya, sejak kebenaran rentas negeri dibenarkan, antara 10 hingga 20 peratus pengunjung luar negeri ini mengunjungi Pulau Pangkor.

“Memang sudah ramai yang menempah hotel dan kita juga sudah bersedia menerima pengunjung.

“Pada masa sama, kita berharap pengusaha feri dapat memastikan pengunjung lengkap divaksin dan mematuhi semua SOP seperti lengkap di vaksin kerana mereka individu terawal menerima pengunjung untuk ke Pangkor,” katanya. – HARIAN METRO