IPOH, 23 Feb – Seramai 34,743 petugas barisan hadapan di Perak akan menerima suntikan vaksin pada fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata walau bagaimanapun daripada jumlah tersebut, hanya 60 peratus bersetuju untuk menerima suntikkan tersebut manakala bakinya mempunyai sebab-sebab tertentu.

“Saya dimaklumkan sudah lebih 60 peratus yang telah menyatakan persetujuan. Bakinya itu ada sebab-sebab tertentu. Seperti mana dalam video tadi, kalau dia ada alahan yang teruk, dia tidak boleh ambil.

“Kedua, kalau dia hamil atau dia baru kahwin dan berhasrat untuk mempunyai zuriat, dia tak perlu ambil. Jadi mungkin baki daripada yang tidak bersetuju tadi atas sebab-sebab yang kita maklumkan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat meninjau ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamaruddin serta Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Ding Lay Ming.

PPV tersebut yang dilengkapi dengan lapan stesen termasuk empat bilik vaksinasi itu dijadualkan dibuka bermula 1 Mac.

Sementara itu, Saarani turut diminta mengulas berkenaan langkah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk menyenaraikan golongan guru dan pengamal media dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Katanya ia adalah usaha yang baik namun di Perak, kerajaan negeri akan melihat semula keperluan untuk melaksanakan perkara sama.

“Ia adalah usaha bagus apabila melibatkan petugas dan kakitangan kerajaan yang sentiasa berada di lapangan dan berjumpa dengan orang ramai.

“Namun, kita ada beberapa kekangan khususnya membabitkan masa dan lokasi. Walau bagaimanapun program ini dijalankan secara berperingkat yang bermula dengan anggota petugas barisan hadapan terlebih dahulu,” jelas beliau.

Tegas Menteri Besar, kerajaan negeri telah membuat persiapan rapi bagi program vaksinasi tersebut.