IPOH, 1 Mac – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan, sebenarnya terdapat lebih lima sindiket dadah yang didalangi VVIP bergelar Datuk dan Tan Sri.

Beliau memberi jaminan bahawa mereka tidak lagi boleh melarikan diri atau bersembunyi.

Menurutnya, pihak polis telah mempunyai data serta maklumat lengkap mengenai mereka.

“Perkara ini telah lama kita perhatikan, hanya kita ada masalah untuk mendapatkan beberapa bukti yang boleh mengaitkan mereka terus kepada mereka tetapi insya Allah kita akan dapat.

“Tidak ada alternatif lain di dalam negara kita apabila dadah menular begitu hebat sekali.

“Rampasan yang telah dilakukan oleh Jabatan Narkotik, berbilion, berjuta-juta setiap minggu, setiap minggu mereka dengan gigihnya melaksanakan operasi demi operasi setiap minggu akan tercatat kejayaan menumpaskan satu ataupun dua sindiket,” katanya.

Beliau ditemui selepas Upacara penutupan Kursus Asas Konstabel Orang Asli siri 1/2020 di Lapang Sasar Utana Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak pada Isnin.

Abdul Hamid berkata, pihaknya serius untuk mengambil tindakan terhadap mereka bagi memastikan masalah dadah dapat dibenteras.

Menurutnya, usaha itu akan sia-sia sekiranya hanya lapisan di bawah pengedaran sahaja yang dibenteras sedangkan lapisan yang di atas terlepas.

Pada Ahad, media melaporkan terdapat tiga individu bergelar Tan Sri dan Datuk yang disyaki dalang utama kartel dadah di negara ini sedang dalam pemerhatian pihak polis.

Kesemua individu itu dikatakan menggunakan taktik licik dengan berselindung di sebalik perniagaan seperti perhotelan, perkapalan, pengangkutan dan besi bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.