IPOH: “Adalah lebih mulia jika kerusi Parlimen Gerik tidak ditandingi dan semua parti berlapang dada untuk memberikan kemenangan percuma kepada Umno di Gerik, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan berkata perkara itu dilihat turut mendapat respon yang sama daripada beberapa parti yang lain, selain mengharapkan supaya hanya satu calon sahaja iaitu daripada Barisan Nasional bertanding di kawasan tersebut.

Bagaimanapun katanya, Umno Perak sentiasa bersedia untuk menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik ekoran kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Hasbullah Osman pada Isnin.

“Kita tidak boleh menghalang PRK sebab itu termaktub dalam Akta Suruhanjaya Pilihan Raya iaitu mana-mana kawasan yang dikosongkan kurang daripada tiga tahun maka PRK perlu dilaksanakan.

“Saya berpendapat adalah lebih mulia, lebih baik kalau ia tidak ditandingi kerana pertama masalah COVID-19, yang keduanya ia tidak mengubah apa apa kerana kerajaan telah pun ada, hanya dengan satu kerusi takkan mengubah apa apa.

“Jadi saya yakin kalau semua parti berlapang dada untuk menerima calon Barisan Nasional sebagai calon tunggal dan kita tak perlu untuk bertungkus lumus turun padang berkempen berjumpa dengan orang ramai. semua itu kita tahu akan menjadi salah satu daripada punca merebaknya pandemik COVID-19.

Ujar Saarani lagi, Umno Perak menunggu keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan PRK perlu diadakan atau sebaliknya.

Katanya lagi, tahun ini amat mencabar bagi Umno Perak kerana kehilangan dua pemimpin kanan parti.

Jenazah Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbulllah Osman,63, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang, Gerik, pada Selasa.