IPOH, 19 APRIL : Kecekapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya berjaya memujuk seorang lelaki yang dipercayai cuba membunuh diri di Terminal Amanjaya, di sini, hari ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.38 pagi.

Katanya, kejadian melibatkan seorang lelaki berumur 41 tahun yang memanjat kerangka besi setinggi kira-kira 15 meter.

“Mangsa telah berjaya dipujuk oleh anggota bomba dan turun dengan sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut jurucakap itu, anggota bomba yang menggunakan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) berjaya memujuk mangsa supaya tidak membunuh diri.

Lelaki itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Nor Azam Abd Rahman tamat pada 8.26 pagi.