IPOH, 15 Mei – Seorang lelaki dikenakan kompaun RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri di Tanjung Malim, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata sebelum itu pihak polis telah menerima aduan orang ramai bahawa terdapat rumah yang dihadiri ramai orang.

Katanya susulan itu sepasukan anggota polis telah ke membuat pemeriksaan di rumah itu pada jam 5.45 petang sebelum pekerja swasta yang berusia 31 tahun itu mengaku menganjurkan rumah terbuka.

Bagaimana pun ujar beliau ketika pemeriksaan dilakukan mendapati tiada kehadiran orang ramai kecuali terdapat kesan ianya telah dikunjungi individu-individu luar seperti dilaporkan.

“Sebabnya masa kita sampai orang dah tak ada. Dia mengaku memang dia menganjurkan majlis rumah terbuka.

“Semasa pihak polis sampai, dia mengaku bahawa dia telah menganjurkan rumah terbuka kepada kawan-kawan dia di rumah. Memang ada kesan dia buat rumah terbuka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Ipoh Utara Arah Selatan di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu beliau menasihatkan agar orang ramai mematuhi SOP PKP memandangkan kadar jangkitan wabak COVID-19 di Perak berada pada tahap tinggi seperti dilaporkan media.

“Nasihat saya kepada semua janganlah buat rumah terbuka, janganlah buat kunjung-mengunjungi, kerana kadar jangkitan di Perak ini tinggi.

“Kita ni bukan kejam sangat nak pergi periksa rumah ke rumah. Kita takkan periksa rumah ke rumah. Tetapi kalau ada aduan, kita terpaksa mengambil tindakan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mior Faridalathrash berkata dalam tempoh 12 Mei sehingga semalam, Polis Perak telah mengeluarkan sebanyak 116 kompaun dengan kadar pematuhan sebanyak 96 peratus.

“Dalam tempoh yang sama sebanyak 8,807 permohonan untuk rentas daerah dan negeri yang dibuat kepada balai polis di seluruh negeri ini.

“Daripada jumlah berkenaan sebanyak 160 permohonan kita tolak kerana permohonan itu dibuat atas dasar sosial iaitu untuk menziarahi orang tua, saudara mara, kenduri dan sebagainya, jadi kita tidak benarkan,” jelas beliau.

Selain itu, beliau berkata terdapat 185 kenderaan yang diarahkan berpatah balik di SJR lebuh raya dan 146 kenderaan di SJR Jalan Persekutuan di Perak, bagi tempoh sama.

Pada masa sama, Mior Faridalathrash berkata Polis Perak turut mengesan taktik penyalahgunaan kebenaran rentas negeri atau daerah bagi pasangan jarak jauh.

“Ada yang menyalahgunakan permit polis dengan alasan untuk balik berjumpa dengan isteri atau suami bagi pasangan jarak jauh. Namun apabila kita membuat pemeriksaan di SJR mendapati pasangan suami isteri berada dalam kereta sama dan rupanya hendak balik kampung,” ujar beliau.