LENGGONG, 14 APRIL : Seorang lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan kecederaan dipercayai dibunuh dalam sebuah kebun getah di Kampung Banggol Batu di sini lewat malam Isnin.

Mayat Jamaluddin Hamzah, 55, ditemukan kira-kira 300 meter dari jalan utama kampung berkenaan di celah pokok getah dengan ditutup menggunakan daun sekitar 12.10 malam, lapor Sinar Harian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, makluman awal mengatakan terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri dalam kebun getah.

Bagaimanapun menurutnya, siasatan di tempat kejadian menjumpai kesan cedera di pipi kanan, kepala dan kesan darah di kedua dua telinga mangsa.

“Berpandukan kesan cedera itu, kita tidak menolak kemungkinan mangsa telah dipukul menggunakan objek keras.”Mayat ditemui berpakaian lengkap, namun tidak mempunyai sebarang identiti. Rakan mangsa telah membantu mengesahkan identitinya,” katanya.

Beliau berkata, bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mendapati kematian mangsa disebabkan trauma di dada kerana hentakan menggunakan objek tumpul (chest injury due to blunt trauma).

Katanya, berdasarkan maklumat diperoleh, polis telah melakukan tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 26 tahun bagi membantu siasatan.

Menurutnya, lelaki berkenaan yang merupakan penganggur ditahan di kediamannya di Lenggong pada hari sama jam 2 pagi.

“Pasukan Forensik mengambil dua sapuan darah dari kuku lelaki berkenaan untuk siasatan.

“Polis juga akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap lelaki itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – AWANI