IPOH: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas enam tuduhan termasuk cubaan membunuh dan mendatangkan kecederaan ke atas anggota polis pada September lalu.

Tertuduh, Leong Chee Kae, 45, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan satu pertuduhan di Mahkamah Majistret.

Bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Leong didakwa cuba membunuh Inspektor Ishak Jumain, Lans Koperal V. Prabhakaran, Lans Koperal A. Puvandra, Inspektor Nizam Ab Latiff dan Koperal Yong Kok Vui, dengan menyimbah cecair dipercayai minyak tanah kepada mereka dan cuba melemparkan lilin yang bernyala.

Leong didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Ishak dengan menyatakan akan membakar beliau jika menangkapnya selain sengaja mencederakan Puvandra dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging.

Tertuduh yang tidak bekerja itu juga didakwa sengaja menghalang Ishak menangkapnya dengan melarikan diri masuk ke dalam rumah dan telah menggunakan perkataan kurang sopan dan aib kepada polis.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di Taman Tasek Jaya di sini, kira-kira pukul 11 malam pada 15 Sept 2017.

Bagi cubaan membunuh, Leong didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan manakala Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan masing-masing bagi kesalahan menakutkan secara jenayah dan mencederakan anggota polis.

Lelaki itu juga didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang anggota polis menjalankan tugas manakala bagi kesalahan menggunakan perkataan kurang sopan pula dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazratul Natrah Mohd Yusuf manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chiang Mei Wan.

Chiang memohon kepada mahkamah untuk menghantar tertuduh ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di sini untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan dalam tempoh sebulan kerana Leong mempunyai rekod perubatan berkaitan penyakit mental.

Hakim Norashima Khalid membenarkan permohonan itu dan menetapkan 16 Okt untuk tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Terdahulu, Leong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan mencederakan seorang lelaki dengan sebilah parang di sebuah kedai kopi di Taman Klebang Restu di sini, kira-kira 3 petang pada tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada hukuman tersebut.