BERUAS, 19 Okt- Lelaki yang dipercayai terjatuh dari sampan ketika mencari kerang di Kuala Panchor, Pantai Remis di sini, ditemukan lemas dalam keadaan terapung oleh nelayan.

Difahamkan mangsa dikenali sebagai Shahril Daud,33, dipercayai lemas setelah terjatuh dari sampan kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.35 petang tadi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.

“Mangsa dipercayai terjatuh dari bot pada 1.30 tengah hari dan bot itu ditemui kira-kira 1.5 batu nautika dari jeti.

“Operasi pencarian membabitkan dua bot nelayan dengan kekuatan dua penyelia dan empat anggota, dengan bantuan 10 bot nelayan Bagan Panchor.

“Operasi dilakukan dalam radius pencarian 500 meter daripada lokasi sampan mangsa ditemui sebelum mangsa berjaya ditemui dalam keadaan terapung,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut jurucakap itu lagi, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis pada jam 7.30 malam bagi tindakan selanjutnya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.38 malam.